Cari Blog Ini

Ahad, 11 November 2012

Wahai Bangsa Ku Bersatulah..

Wahai bangsa ku bersatulah. Janganlah kita berpecah belah. Berapa lama lagi harus kita membawa keegoan ilmu kita ke kancah perpecahan ummah? Kita beriqtikad kepada 2 kalimah yang sama. Pandanglah antara kita dengan pandangan kasih sayang. Sesungguhnya dunia ini menipu kita. Jangan lah kita mengambil bisikan-bisikan kesumat yang memecah belahkan kita. Bangsa kita adalah majoriti di dalam Negara kita sendiri. Gunakanlah kelebihan ini untuk membina peradaban kita semula.

Apa pun fahaman antara kita termasuk ilmu pengetahuan kita datangnya dari Allah. Pandanglah dunia kita dengan pandangan Allah. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Apakah besarnya kuasa kita melewati sifat-sifat asma’ Allah? Tegurlah antara kita di dalam kasih sayang dan akhlak yang mulia sebagaimana Rasulullah bertabliq dengan akhlaknya. Bukankah kita memilih untuk makrifatullah? Hukuman-hukuman dunia bukan ditangan kita menentukan keimanan antara manusia.

Shahih Muslim, Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk sehingga setelah selesai menciptakan mereka, bangkitlah rahim (hubungan kekeluargaan) berkata: Ini adalah tempat bagi orang berlindung (kepada-Mu) dengan tidak memutuskan tali silaturahim. Allah menjawab: Ya. Apakah kamu senang kalau Aku menyambung orang yang menyambungmu, dan memutuskan orang yang memutuskanmu? Ia berkata: Tentu saja. Allah berfirman: Itulah milikmu. Kemudian Rasulullah saw. bersabda: Bacalah ayat berikut ini kalau kalian mahu: Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan telinganya dan dibutakan matanya. Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran ataukah hati mereka terkunci.

Shahih Muslim, Hadis riwayat Aisyah r.a., ia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada arsy, ia berkata: Barang siapa yang menyambungku (berbuat baik kepada kerabat), maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya.

Shahih Mulsim, Hadis riwayat Jubair bin Muth`im r.a.: Dari Rasulullah s.a.w. bahwa beliau bersabda: Tidak akan masuk surga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.

Shahih Muslim, Hadis riwayat Anas bin Malik r.a., ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Barang siapa yang merasa senang bila dimudahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung hubungan kekeluargaan (silaturahmi).

Apakah hadis-hadis ini masih belum cukup mengukuhkan ukhwah kita sehingga mempersendakan antara satu sama lain? Persada politik memang tidak dapat kita tolak di dalam arus dunia sekarang. Apakah natijahnya apabila terdapat 2 fahaman yang membina jurang dan dinding sebagai pemisah kepada silaturahim. Apakah natijahnya apabila di dalam sebuah rumah seorang anak dan seorang bapa mempunyai fahaman politik yang berbeza? Apakah politik ini cukup kuat untuk menjawap segala soalan-soalan urusan mizan di akhirat kita kelak? Inilah suntikan penjajahan yang masih belum dapat kita merdekakan. Rata-rata kita melaungkan kemerdekaan namun apakah ertinya kemerdekaan sekitanya kita tidak boleh makan sepinggan dengan ayahibu dan anak-anaknya?

Tidak kasihan kah kita kepada arwah-arwah moyang kita yang bermatian memperjuang kesenangan kita sekarang? Apakah titisan darah dan air mata mereka dulu tidak ada ertinya kepada kita? Apakah ikhtibar perang badar yang kita ceritakan kepada anak-anak kita? Apakah Perang Khandak tidak menjadi kesan di dalam pemikiran ilmu kita? Di manakah letaknya Fatanah kita? Bersatulah bangsa ku..

Tidak terdetikkah simpati kita kepada pemerintah-pemerintah kita, Sultan-Sultan kita menanggung dosa yang tidak mereka lakukan? Betapa besar beban di atas batu jemala kita mendaulatkan pemerintah kita. Sama seperti ayah dan ibu yang menanggung keaiban dan dosa-dosa anak-anak mereka. Tidakkah kita takut kepada balasan-balasan Allah. Kita kata kita telah beriman. Kita sujud dan beramal dengan rukun-rukun yang lengkap namun akhirnya kita sendiri lupuskan tinta-tinta kebaikan itu atas tangan kita sendiri dengan perkara yang amat mudah iaitu memutuskan silaturahim.

Shahih Muslim, Hadis riwayat Abu Hurairah r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Hindarilah oleh kamu sekalian berburuk sangka kerana buruk sangka adalah ucapan yang paling dusta. Janganlah kamu sekalian saling memata-matai yang lain, janganlah saling mencari-cari aib yang lain, janganlah kamu saling bersaing (kemegahan dunia), janganlah kamu saling mendengki dan janganlah kamu saling membenci dan janganlah kamu saling bermusuhan tetapi jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara.

Bersatulah bangsa ku. Bermesyuarahlah secara Fatanah. Carilah titik-titik kebaikan jauhkan titik-titik keburukan. Pandanglah kepada kebaikan saudara-saudar kita dan menegur keburukan dengan akhlak yang terbaik.

Shahih Muslim, Hadis riwayat Ibnu Umar r.a.: Bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda: Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat.

Shahih Muslim Hadis riwayat Abu Musa r.a., ia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung akan mengulur-ulur waktu bagi orang yang zalim. Tetapi ketika Allah akan menyiksanya, maka Dia tidak akan melepaskannya. Kemudian beliau membaca firman Allah: Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras.

Siapakah yang kita perangi sebenarnya? Siapakah musuh kita sebenarnya. Apakah sudah tebal iman kita sehingga kita boleh menjamin syurga kepada diri kita sendiri? Sedangkan mati kita memerlukan saudara kita mandikan, kapankan dan kebumikan. Padamkanlah amarah yang bersarang di dalam jiwa kita. Maafkanlah antara sesama kita. Sedang Allah Maha Penyayang. Kita ini hamba dan sampai bila-bila kita adalah hamba yang diciptakan. Berperang kita kepada orang-orang kafir yang tidak mahu beriktiqad kepada Allah dan Rasulullah. Namun apakah yang kita lakukan sekarang? Kita berkasih sayang dengan saudara yang tidak beriqtikad kepada pencipta kita dan kita bersengketa dengan saudara seugama kita. Inikah kepercayaan dan pegangan Ahlul Sunnah Waljamaah?

Jangan kita biarkan ilmu dan diri kita hanyut di dalam permainan iblis laknatullah yang berbisik-bisik kebencian di dalam hati kita agar silaturahim itu hancur lebur. Gandingkan genggaman kita bersama. Pimpinlah tangan-tangan kita agar terpancar rahmat Nurullah yang membina benteng-benteng kekuatan kita menentang bisikan-bisikan iblis. Allah membina benteng dengan kalimah-kalimah Nya meliputi 7 petala langit dan 7 petala bumi!! Apakah tidak cukup kekuatan itu hingga kita sanggup menzalimi saudara-saudara kita sendiri?! Bersatulah bangsa Ku.

Ya Allah.. Ya Rahman.. Ya Rahim.. Kuatkahlah ikatan genggaman kami Ya Allah, Ya Salam, Ya Zaljalaliwalikrom.. Teguhkanlah perpaduan kami Ya Allah. Bukakanlah hati-hati kami mengambil ikhtibar daripada peristiwa-peristiwa yang telah Engkau beritakan kepada kami di dalam firman-firman Mu Ya Rahman.. Lembutkan lah hati-hati pemerintah-pemerintah kami. Kuatkanlah genggaman-genggaman tangan mereka menjunjung firman dan sunah sebagai landasan pemerintahan mereka. Jadikanlah pemerintah-pemerintah kami dari kalangan orang-orang yang beriman. Sekiranya ada antara pemerintah-pemerintah kami yang lemah Kau kuatkan lah hati-hati mereka. Berikanlah hidayah kepada mereka agar dapat mereka memimpin kami ke arah siraatulmustakim Mu Ya Allah. Begitu juga ada antara pemimpin-peminpin kami yang bukan beriman kepada Mu, Kau berilah hidayah kepada mereka agar beriman kepada Mu. Islamkan lah mereka. Sesungguhnya Engkau jua yang menentukan mereka-mereka itu sekarang yang memimpin kami dan menanggung segala dosa-dosa kami.

Ya Allah.. Ya Rahman.. Ya Rahim.. Sejahterakanlah Negara kami, bangsa dan agama kami. Bukakanlah hijab kepada kami melihat kebesaran peristiwa nabi Nuh a.s. kepada kami. Bukakanlah hijab kami melihat kebesaran maukjizat Rasulullah s.a.w. yang telah Engkau utuskan buat kami melihatnya. Peliharalah kami dari pemerintah-pemerintah yang memecah belahkan kami. Jauhkan lah kami dari bisikan-bisikan dari kalangan bangsa-bangsa jin dan bangsa-bangsa manusia. Jauhkanlah kami dari tipu daya jin dan manusia yang berusaha memisahkan persaudaraan kami. Jauhkanlah kami dari hasad dengki, ketamakan, kezaliman dan persengketaan antara kami. Kuatkanlah salam antara kami Ya Salam. Satukanlah hati kami beriman kepada Mu dan janganlah dipalingkan kami dari menyembah hanya kepada Mu Ya Rahman Ya Rahim.

Kami bertaubat kepada Allah. Kami bertaubat kepada Allah. Kami bertaubat kepada Allah. Dan kami kembali kepada Allah. Dan kami menyesal terhadap apa yang kami lakukan. Dan kami berazam bahawa kami tidak akan kembali berbuat dosa untuk selama-lamanya. Dan kami terlepas daripada tiap-tiap agama yang menyalahi agama Islam. Dan kami bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi Mu. Dan kami bersaksi dengan sesungguhnya bahawa Nabi Muhammad S.A.W. itu Rasul Allah. Kami redha bahawa Allah itu Tuhan kami; dan Islam sebagai agama kami; dan penghulu kami Muhammad S.A.W. itu nabi dan rasul.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa ibu bapa kami sebagaimana mereka telah memelihara kami semenjak kecil, ampunilah dosa-dosa guru-guru kami dan kaum mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat, samada yang masih hidup mahupun yang telah mati, dengan Rahman Mu jua wahai Allah, yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Ya Allah.. Limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W., keluarga dan para sahabatnya sekelian. Kurniakanlah kepadanya kesejahteraan yang sempurna dan jadikanlah penyayang dan pengasih terhadap kami.

Perkenankanlah.. Perkenankanlah.. Ya Rabbal Alamin..

Wallahuwaqlam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan