Cari Blog Ini

Ahad, 11 November 2012

Apa Antara Kau & Aku..

Dulu moyang kita datuk nenek kita bersusah payah..
Tegakkan hak bangsa dan ugama bermati-matian..
Merantau disetiap ceruk dunia membuka penempatan baru..
Mengusahakan tanah-tanah, lembah dari hutan belantara..
Bertukar menjadi kampung halaman yang indah..
Warisan ini mewariskan pada kita sebuah perkampungan yang indah..
Keringat dan darah menjadi taruhan, menentang penjajah durjana..
Betapa payah betapa cekal dan pasrah demi anak dan warisan seterusnya..

Tangan bertinta mulut bercerita sejarah menjadi penyampai..
Berkisah berlembar-lembar sebagai panduan serta teladan..
Tidakkah nesan dan makam memberi sebarang perkabaran?
Tinggalkan harta tinggalkan nama tinggal segalanya..
Ketika jasad bernyawa menepuk dada akulah yang terhebat..
Aku lah yang benar akulah yang berkuasa..
Tanyakan pada aku bumi siapa yang aku berpijak ini?
langit siapa yang aku bertongkat ini..?
Laut siapa yang aku berlayar ini?
Pandang lah umbun-umbun basah di hadapan kita..
Tanyakan pada aku mereka siapakah mereka..
Apakah daya mereka jika dunia gundah gelana..

Revolusi demi revolusi telah berlalu..
Kaki melangkah satu-persatu semakin jauh tapak bertapak..
Setiap satu adalah doa yang sejahtera mencari rahmat dari Maha Pencipta..
Perlukah langkah dihentikan dan mengundur mencari punca?
Segala rahmat dan nikmat telah dicurahkan melimpah ruah..
Diberi aman sejahtera dengan bumi dan langit cerah indah alam maya..
Berpijaklah dibumi yang nyata..

Wahai teman walau di mana berada..
Tidak kira kamu siapa, besar atau kecil pada pandangan mata..
Tidak kira yang miskin mahu berharta..
Siapakah kamu dalam dunia ini?
Berpesan-pesanlah dijalan kesabaran dan berpesan-pesan di jalan kebaikan..
Janganlah memilih hanya kebahagiaan di dunia..
Janganlah mementingkan kekuasaan yang tidak kekal selamanya..
Bangkit kan kasih sayang dan kecintaan antara sesama kita..
Hilangkanlah hasad yang durjana..
Hilangkanlah ketamakan yang serakah..
Hilangkanlah fitnah yang membunuh..
Hilangkan kesombongan yang angkuh..
Hilangkanlah dirimu dari kebinasaan batin yang menurut hawa dan nafsu..

Hari esok pasti datang selagi sangkakala belum bekumandang..
Semalam menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan..
Peristiwa semalam menjadi berita suka duka hari ini..
Yang telah berlaku menjadi tanda benar atau durjana..
Tidak berdaya manusia merubah peristiwa..
Semalam aku membuat perhitungan dalam diri..
Semalam aku mencorak hari ini..
Semalam aku melangkah mencipta sejarah..
Aku yang memilih apakah cerita yang bakal aku baca pada hari ini..
Bodohkah aku semalam? Bijakkah aku semalam?

Hari ini? Apakah yang telah aku beri?
Atau harini apakah yang telah aku terima?
Masih adakah yang tertinggal di antara tingkap-tingkap persoalan?
Menunggu kah atau melangkah?
Hari ini aku terima seketul batu..
Apakah batu itu untuk ku? Atau batu itu untuk di pecah deraikan?
Siapa lagi yang merasa manis, masin, masam yang kita rasa?
Siapa pula yang memberi manis, masin, masam mereka kepada kita?
Yang lumrah adalah kami untuk kami dan kamu untuk kamu..
Apa antara kau dan aku?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan