Cari Blog Ini

Jumaat, 11 Jun 2010

PERANAN ULAMA DALAM PERSILATAN

Assalammualaikum wbt,

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..

Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam serta selawat dan salam buat junjungan kita Rasullullah Nabi Muhammad SAW..

Semoga artikel yang dipetik ini akan memberi manfaat kepada semua selain membuka lembaran baru kepada orang Melayu khususnya betapa seni warisan ini perlu dihidupkan kembali seperti sediakala agar terserlahlah keutuhan bangsa dan bekalan generasi penerus.

________________________________________________

Koleksi artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


BARANGKALI perbicaraan yang menyentuh secara langsung tentang persilatan adalah masih sangat langka. Keterlibatan penulis dalam membicarakan perkara persilatan ini juga amat sedikit berbanding penulisan-penulisan selainnya. Oleh itu, kelemahan-kelemahan dalam perbicaraan ini rasanya sangat banyak, apatah lagi dunia persilatan hanyalah penulis kenali sewaktu masih kanak-kanak dan ditinggalkan begitu lama, sejak tahun 1960-an.

Jenis-jenis silat memang banyak penulis ketahui, namun penulis bukanlah seorang pelajar mengenai bidang itu secara tekun tetapi hanyalah sebagai pemerhati saja. Di antara silat-silat yang penulis ketahui ialah Silat Pengian, Silat Kuntau, Silat Harimau, Silat Buton Kalidupa, Silat Bugis Bone, Silat Sinding, Silat Pukul Tujuh, Silat Minangkabau, Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Patani, Silat Abjad dan Al-Mu'azat.

Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fisabilillah.

Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan 'senjata' qalam untuk mengajar umat Melayu dna juga senjata pedang unutk perjuangan di medan jihad fisabilillah demi mempertahankan kesucian Islam dan watan daripada penjajah. Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula adalah mempertahankan Islam dan tanahair.

Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah:
  • silat menggunakan qalam/pena,
  • silat kalam/lidah,
  • silat menggunakan siasah/politik, dan lain-lain termasuklah
  • silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cadang seni atau budaya.

Tulisan Sheikh Daud Abdullah Al-Fathani mengenai jihad dalam Islam


Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu yang terlibat langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam medan jihad melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam.

Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan dalam penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan bahawa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama pejuang Islam sebenar dan sejati serta bertanggungjawab terhadap ummah dan watan Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan kuffar.

Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab. Transliterasi selengkapnya ialah: "Dan setengah daripadanya, perang sabil bagi kuffar, yakni wajib bagi Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu, maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu. "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka hendaklah diperbuat akan salah suatu daripada keduanya maka gugurlah fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu datang kepada negeri kita.

"Maka jika datang ia kepada negeri Islam maka jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ... " (Bughyat at-Thullab, jilid 1, hlm. 95).

Ulasan dan pandangan, daripada kalimatnya "Maka jika datang ia kepada negeri Islam ... " dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa Barat-Belanda dan Inggeris di dunia Melayu pada zaman Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dengan peristiwa Amerika, pengganas terbesar dunia, yang telah menjajah Afghanistan dan Iraq.

Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah menjajah dunia Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga tidak terlepas daripada dijajah, bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh Siam. Semua penjajah yang tersebut adalah bukan agama Islam kerana mereka telah menjajah negeri Islam. Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada sambungan kalimat di atas bahawa "jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ..." berperang atau jihad terhadap mereka. Bangsa-bangsa yang telah menjajah dunia Melayu, adalah bukan beragama Islam.

Justeru fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai pengganas adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam sejarah bahawa bangsa-bangsa yang beragama Islam datang menjadi penjajah di dunia Melayu.

Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas atau terrorist atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat dua golongan yang sedang bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa (pemerintah) dan yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa (rakyat).

Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan lain-lain tidak dapat disamakan dengan kedua-dua golongan pengganas yang tersebut di atas, kerana jihad Islam adalah cukup jelas berdasarkan perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya. Siapa saja yang berjihad menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat keraguan di dalamnya.

Wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada pentafsiran-pentafsiran yang tidak betul disusun demikian rapi oleh pihak-pihak tertentu yang telah merasa lazat makanan dan minuman segar tetapi beracun yang mereka peroleh dari musuh-musuh Islam.

Mengenai membuat persiapan sebagai benteng pertahanan dapat kita ketahui dari kalimat beliau, "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia ...".

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan persenjataan dengan sambungan kalimatnya "dan ditaruhkan senjatanya" maksudnya bahawa dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan persenjataan yang cukup dan siap digunakan apabila diperlukan.

Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada sambungan kalimatnya "dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu". Kalimat ini dapat dihubungkaitkan dengan "ilmu silat" kerana orang Melayu yang sanggup melawan musuh pada zaman itu perlu mempunyai ketangkasan.

Ketangkasan dalam bentuk fizik adalah mempelajari ilmu silat. Dan tidak dapat dinafikan diperlukan "kekuatan dalaman" atau "mental" atau "rohani". Baik Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani mahu pun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan diri untuk menghadapi musuh dalam peperangan.


Wirid pertahanan diri Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani

Untuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, dalam karyanya berjudul Mulhik fi Bayanil Fawa'id an-Nafi'ah fil Jihadi fi Sabilillah atau judul terjemahan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri iaitu "Suatu Perhubungan Pada Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam Perang Sabilillah", beliau membahagi dalam risalah tersebut kepada empat bahagian, iaitu:
  • Faedah Yang Pertama Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi 'Azimat Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan Daripada Kejahatan Orang Kafir.
  • Faedah Yang Kedua Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah Dan Lainnya.
  • Faedah Yang Ketiga Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.
  • Faedah Yang Keempat Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan Segala Kafir, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka Itu.
Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan Mat Kilau. Mengenai ini termaktub dalam Kitab Mat Kilau, cetakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu "Ini doa diambil daripada Sheikh Abdus Shamad Palembang, siapa yang mengamalkan doa ini nescaya tidak mengenai padanya pedang, atau panah, atau segala rupa kejahatan dari seteru ... "Yang disebut dalam Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua.

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk perang itu daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Dalam empat buah karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid yang sama, di antaranya dalam kitab Mun-yat al-Mushalli. Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H/2003 M hlm. 96-98).

Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Perlu juga penulis sentuh di sini bahawa dalam terjemahan wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut ada hubungkait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat yang pernah penulis pelajari adalah melalui tiga jalan, iaitu:
  • Belajar secara fizik di gelanggang.
  • Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya.
  • Mengabungkan pelajaran fizik dan wirid.
Pada Faedah Yang Keempat wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani terdapat satu doa yang sama dengan yang diamalkan dalam Silat Al-Mu'azat. Walaupun dalam Silat Al-Mu'azat tidak mempelajari gerak fizik, tetapi apabila mengamalkan wirid, maka gerak fizik akan datang dengan sendirinya.

Kesimpulan dan penutup.
Dari semua yang telah dibicarakan di atas penulis berpendapat bahawa:
Seni dan budaya persilatan diajarkan dalam dua bentuk, iaitu dalam gerak fizik dan kerohanian.
  • Ilmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.
  • Ulama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fisabilillah mempunyai asas ilmu menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan diri yang bersambung dari satu guru ke satu guru hingga sampai kepada pahlawan-pahlawan Islam terdahulu bahkan sumber amalan ada yang berasal dari Rasulullah SAW sendiri.
  • Ulama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara bersambung dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.
Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah kita dapat menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan mengetepikan apa saja seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak. Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi ikutan dan pemikiran yang tiada betul walau dari siapa pun datangnya supaya dihindari oleh-Nya.

Dunia Melayu menurut Sheikh Ahmad al-Fathani

Assalammualaikum wbt,

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..

Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam serta selawat dan salam buat junjungan kita Rasullullah Nabi Muhammad SAW..


Amat menarik artikel ini sehingga saya tertarik untuk berkongsi bersama sahabat-sahabat semua. Mudah-mudahan akan membawa kebaikan bersama serta menjadi maklumat berguna di dalam langkah hidup kita. Perjalanan hidup di dalam era dunia moden ini serba sedikit melekakan kita daripada menilai luahan ulama-ulama terdahulu dari kita. Mungkin tidak terlewat bagi saya meneliti serta menyelami penulisan-penulisan seumpama ini seterusnya merujuk kepada guru-guru yang sesuai.


Inilah khazanah yang sangat bernilai yang menjadi tali kekuatan ummah Melayu yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Hadis. Sesungguhnya ilmu itu wajib dicari agar teguh juga amalan syariat sehingga menjadi cara hidup yang selamat dunia dan akhirat.


Marilah kita bersama-sama membaca seterusnya bersama-sama menelaah bersama guru-guru kita agar tidak tersasar mahupun terpengaruh dengan tipu daya syaitan yang menyesatkan manusia..


"aku berlindung dengan nama Allah dari syaitan yang direjam.."

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani"



Koleksi artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

HINGGA penghujung tahun 1880-an Masihi, belum dijumpai takrif tentang istilah Melayu dalam pelbagai aspek oleh putera dunia Melayu sendiri, kecuali hanya dibicarakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam banyak tempat yang secara terpisah.

Sebelum membicarakan pelbagai aspek peradaban dunia Melayu, penulis petik kembali kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani yang beliau tulis dalam bahasa Arab dan pernah diterjemah dan dimuat dalam buku Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1. Petikan itu ialah:

"Iaitu kesatuan semua bangsa Melayu, al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya'. Mereka adalah kelompok atawa segolongan besar manusia. Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia.

"Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina. Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah. Pakar/ ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa alam Melayu itu adalah sebahagian daripada negeri-negeri India-Cina.

"Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan "Jawah", iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana. Orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa.

"Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu. Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu.

"Bangsa Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak, berperibadi sopan. Mereka memiliki kehormatan yang sopan, menguasai pembaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya.

"Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka."

Tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani asli yang diterjemahkan di atas adalah dalam bahasa Arab dan ditempatkan pada bahagian tepi karya beliau berjudul Tashil Nail al-Amani. Kitab ini masih diajar di beberapa tempat di dunia Melayu, mahupun di tempat-tempat lain di dunia Islam terutama di Mesir.

Dengan kalimat yang pendek tetapi menyentuh pelbagai aspek tentang Melayu tersebut di atas, bererti Sheikh al-Fathani telah memperkenalkan peradaban dan ketamadunan Melayu di peringkat antarabangsa sejak tahun 1300 H/1882 M, iaitu tahun beliau selesai menulis kitab Tashil Nail al-Amani itu.

Perlu penulis sertakan penafsiran kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani tersebut, dimulai dari kalimatnya, "...al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya", takrif yang diberikan bererti menurut dialek Arab dibunyikan dengan perkataan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) sedangkan dalam dialek Melayu sendiri ialah "me" (Me-layu).

Tidak terdapat tulisan lanjut pendapat Sheikh Ahmad al-Fathani yang menyebut apakah perkataan Melayu itu dari bahasa Arab atau pun bahasa lainnya. Kemungkinan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu adalah berasal dari perkataan Arab.

Dunia Melayu

Aspek geografi dan kesuburannya.

Sheikh Ahmad al-Fathani memastikan letak negeri Melayu dengan katanya, "Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina". Ini adalah gambaran bahawa letak dunia Melayu yang strategik kerana diapit oleh dua tanah besar dalam benua Asia, iaitu Cina dan India.

Ia diperjelaskan lagi dengan kalimat, "Pakar / ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa adalah alam Melayu itu sebahagian dari negeri-negeri India-Cina. Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan Jawah."

Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, "iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana" atau di dunia Melayu. Dari perkataan "Jawah" kemudiannya menjadi Jawi. Walaupun antara orang Melayu dengan orang Jawa adalah serumpun Melayu, namun pada pandangan Sheikh Ahmad al-Fathani orang Melayu tidak sama dengan Jawa.

Inilah yang dimaksudkan dengan kalimat, "Orang-orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa." Sukar juga kita mencari sebab asal usul dunia Melayu dinamakan tanah Jawi oleh orang-orang Arab, terutama orang Arab Mekah. Kemungkinan juga berasal dari nama Pulau Jawa yang terletak dalam gugusan kepulauan Melayu.

Selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah", dalam Hadiqat al-Azhar. Ia adalah petikan Jaridah Al-Ma'lumat terbitan Betawi.

Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa buah pulau, katanya: "Adalah Kepulauan Nusantara, iaitu sejumlah pulau-pulau yang terdiri dari: Sumatera, Bangka, Belitung, Jawa, Madura, Bali, Lombok, Sumbawa, Flores, Timor, Borneo / Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan banyak lagi".

Kalimat selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia ..." yang dimaksudkan di sini ialah bahawa keseluruhan dunia Melayu mempunyai hasil yang banyak, baik hasil tanah daratan, hasil laut mahu pun yang terkandung dalam perut buminya yang demikian luas.

Dalam karyanya Thaiyib al-Ihsan fi Thib al-Insan, beliau berpendapat tentang kesuburan spesies tumbuh-tumbuhan untuk perubatan terdapat di bumi Melayu seperti yang beliau nyatakan pada kalimat, "Padahal kita jenis Melayu aula dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat-ubat itu pada bumi kita. Hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambilkan daripada bumi kita. Dan kita terlebih aula pada merintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita".

Aspek bahasa dan ciri-ciri bangsa Melayu.

Setelah memperkenalkan bangsa Melayu, letak dan kesuburannya, Sheikh Ahmad al-Fathani melanjutkan bahasan tentang bahasa. Katanya, "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu."

Pada konteks bahasa-bahasa serumpun Melayu dalam Hadiqat al-Azhar, Sheikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, "Bahasa mereka bermacam-macam iaitu Melayu, Jawa, Sunda, Madura, Bugis, Aceh, Bali, [dan bermacam-macam lagi]".

Walaupun di dunia Melayu terdapat berbagai-bagai bahasa, namun oleh sebab "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan / mudah ...", maka bahasa Melayu adalah menjadi bahasa pengantar.

Sheikh Ahmad al-Fathani menyambung kalimatnya, "Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai/menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu".

Persyaratan sesuatu bangsa yang berperadaban atau bertamadun, tentang bangsa Melayu hingga tahun 1300 H/1882 M, Sheikh Ahmad al-Fathani berpendapat, "Sebahagian ciri-ciri khusus mereka itu ialah, bahawa seseorang tiada melihat di negeri mereka dan lainnya peminta-peminta secara paksa, walaupun keadaan mereka sendiri sangat miskin sekali pun".

Pandangan ini selain ditulis pada nota Tashil Nail al-Amani lebih lengkap ditulis pada nota karyanya Faridat al-Faraid yang ditulis tahun 1313 H/1895 M. Catatannya, "Muru'ah, ertinya "kemukaan" atau "kemanusiaan", iaitu kemuliaan seseorang, dan kesempurnaannya, dan beberapa adab yang ada sekalian itu pada dirinya yang membawa oleh memeliharanya akan dia kepada baik segala perangainya dan elok segala adatnya.

Dan terjemah hamba akan "muru'ah" dengan erti "kemukaan" itu, betul lagi nyata, kerana "kemukaan" pada bahasa Melayu itu kinayah daripada keadaan seseorang itu mempunyai nafsu yang dipuji.

Yang membawa akan dia kepada mengerjakan pekerjaan yang baik Lagi tiada reda ia sertanya mengerjakan barang yang tiada patut dengan keadaan manusia.

Maka iaitulah 'ain "muru'ah" yang pada bahasa Arab, dikatakan "Si Anu itu orang yang bermuka". Ertinya: "mempunyai maruah, yang ia malu mengerjakan barang yang tiada patut dan loba ia atas mengerjakan barang yang membawa kepada kepujian dirinya".

Dengan dalil memulia mereka itu akan orang dagang yang datang kepada negeri mereka, istimewa ahlil Hijaz. Dan jika tiada dibalaskan mereka itu dengan syukur sekalipun. Dan tiada ada pada mereka itu banyak tipu daya.

Dan tiada ada pada mereka itu menghilangkan air muka dengan meminta. Bersalahan setengah daripada jenis yang lainnya. Dan "kemukaan" ini lain daripada "wajahah" yang pada bahasa Arab. Kerana makna "wajahah" itu "al-hazhu wal ratbah".

Dan iaitu bukannya "kemukaan" yang pada bahasa Melayu. Maka tertolaklah dengan demikian itu i'tiradh setengah manusia akan tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemukaan". Maka ia berkata ia [bahawa] "kemukaan" itu terjemah "wajahah" yang pada bahasa Arab.

Ada pun tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemanusiaan", ertinya "keadaan seseorang itu manusia yang sempurna".

Maka, iaitu terlebih nyata, karena syaan manusia yang sempurna itu bahawa bersifat ia dengan segala barang yang tersebut pada makna "muru'ah" itu. Wallahu a'lam."

Masih dalam konteks di atas, sambungan kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani dilengkapi dengan kalimatnya bahawa orang Melayu "memiliki kehormatan yang sopan ..."

Aspek perkembangan ilmu pengetahuan.

Pada sambungan kalimat di atas Sheikh Ahmad al-Fathani menggambarkan orang Melayu dapat menerima perubahan perkembangan zaman serta cerdas menerima ilmu pengetahuan.

Inilah yang dimaksudkan dengan katanya bahawa orang Melayu "menguasai perbaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya".

Mengenai perkataannya "menerima pemodenan teknologi" Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa tulisannya turut membicarakan perkara itu. (Lihat Al-Fatawal Fathaniyah Sheikh Ahmad Al-Fathani, jilid 3, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1422 H/2002 M, halaman 31-32).

Aspek kedaulatan pemerintahan.

Dalam konteks kedaulatan pemerintahan, Sheikh Ahmad al-Fathani mengakhiri kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani, katanya, "Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka. Semoga Allah memelihara negara-negara Islam daripada mereka (kafir). Amin".

Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin dan beberapa karangan yang lain menyebut mulai kedatangan Islam di dunia Melayu sehingga membentuk daulah yang dipegang oleh orang-orang Islam.

Namun selanjutnya bangsa penjajah Portugis, Inggeris dan Belanda telah datang menjajah dunia Melayu. Khusus mengenai Patani juga beliau sentuh.

Dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin memberi contoh peperangan yang panjang antara Aceh dengan penjajah Belanda, sampai tahun 1316 H/1898 M, iaitu zaman Sheikh Ahmad al-Fathani, telah terjadi perang selama 29 tahun.

Tahun yang disebutkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu ada hubungan dengan perjuangan terakhir Teuku Umar.

Pada 1 April 1898 M, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, Teuku Tjoet Tungkob dan hulubalang-hulubalang mengucapkan sumpah setia kepada sultan untuk meneruskan perang sabilillah.

Selanjutnya pada 23 Julai 1898 M, di Keude Meulu, Pidie, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, dilantik pemimpin perang sabilillah dalam satu mesyuarat pemimpin adat dan ulama-ulama Islam.

Sheikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) hidup sezaman dengan Teuku Umar (1854 M - 1899 M), beliau lebih muda sekitar dua tahun daripada Teuku Umar.

Memerhatikan tulisan-tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai Aceh dan pada zaman yang sama beliau mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Turki-Uthmaniyah minta bantuan melepaskan seluruh dunia Melayu dari semua penjajah bererti Sheikh Ahmad al-Fathani ada hubungan dengan semua perjuangan Islam di dunia Melayu termasuk Aceh.

Mengenai yang penulis tulis di atas di antaranya dapat dirujuk dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1, halaman 142-147.

-penutup-