Cari Blog Ini

Rabu, 3 Februari 2010

MODAL INSAN - ETIKA KERJA DENGAN NILAI ISLAM.

Rencana yang pernah diterbitkan di Akhbar Melaka Hari Ini tahun 2008.
Slug : Modal Insan.

Susunan : Rizuan Ahmad

MODAL INSAN suatu penerapan nilai-nilai jati diri yang disarankan oleh YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri Malaysia, merupakan perancangan positif untuk menyediakan rakyat Malaysia sekarang menghadapi globalisasi dunia yang begitu pesat. Fitrah di dalam kehidupan manusia yang beragama Islam mengejar kebahgiaan di dunia dan di akhirat. Setiap perbuatan atau pekerjaan diterapkan dengan nilai-nilai duniawi dan ukhrawi.

Intipati Islam itu sendiri terserlah nilai-nilai modal insan yang sangat efektif dan perlu diaplikasikan agar pembangunan negara yang pesat tidak akan menenggelamkan cahaya Islam dalam kehidupan kita. Hasrat murni Perdana Menteri, menjadikan modal insan sebagai matlamat bagi menjana sahsiah negara Malaysia yang bertamadun, progresif, berdaya saing, pesat dan aman harus diterima serta diaplikasikan di dalam institusi kekeluargaan.

Islam adalah kepercayaan/iman yang amat universal meliputi pengetahuan yang luas tentang alam cipta Tuhan yang nyata, tersembunyi dan perkara mustahil bagi makhluk untuk menandinginya. Selain itu, Islam menyeru umatnya berperibadi mulia, berilmu dan berjaya di dalam semua bidang.

Islam mengajar manusia menjadi berdisiplin, berkeyakinan, berusaha, dedikasi, kreatif, berani, sabar dan bertawakal kepada Tuhan. Nilai-nilai yang indah ini secara tidak langsung membina etika ketika bekerja dan membina modal insan yang berwawasan.

BEKERJA DENGAN IKHLAS DAN AMANAH

Ikhlas dan amanah bagi seseorang pekerja adalah modal insan yang sempurna serta mendapat keredhaan Allah SWT. Pekerja yang ikhlas dan amanah akan menerima tugasan dengan rela hati dan penuh rasa tanggungjawap untuk menyempurnakannya.

Etika begini akan memastikan pekerja sentiasa memberi keutamaan kepada tugasan serta memuhasabah diri bahawa Allah SWT sentiasa melihat tugasan-tugasan yang dilakukannya dan pengawasan Allah SWT lebih tajam daripada pengawasan manusia terhadapnya. Seperti firman Allah SWT ertinya:
"Bahawasanya Allah SWT melihat ia dengan sekelian perbuatan hamba-Nya" (Mukmin:44)

Pekerja yang Ikhlas, amanah, berkemahiran, berilmu dan dedikasi akan dapat membina masyarakat yang jauh dari kemusnahan bertepatan dengan maksud Hadis Rasullullah SAW "Apabila sesuatu urusan (pekerjaan) diberikan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kemusnahan."

Sejajar dengan saranan kerajaan satu ketika dahulu mengujudkan budaya kerja yang Bersih, Cekap dan Amanah. Modal insan yang mampu memastikan negara dapat membenteras gejala rasuah selain mempertingkatkan prasarana kerja yang aman dan diberkati Allah SWT.

BEKERJA DENGAN BERMUSYAWARAH DAN BEKERJASAMA

Manusia tidak dijadikan berseorangan malahan Allah SWT mencipta manusia berpasang-pasangan, berkeluarga, berkumpulan dan bermasyarakat. Setiap manusia saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain.

Bermusyawarah dan bekerjasama melaksanakan apa sahaja dengan iktiqad kerana Allah semata-mata. Islam turut menggalakkan umatnya bergotong-royong bagi menyempurnakan apa sahaja pekerjaan. Kedua-dua etika ini saling bergandingan untuk memastikan tugasan terlaksana dengan sempurna menepati segala aspek dan tidak tercacat cela.

Tugasan perlu dimusyawarahkan bagi mengumpul segala maklumat yang tepat, merancang pelan tindakan seterusnya melantik individu-individu yang layak dan tugasan disempurnakan secara bersama, bergotong-royong serta memastikan tugasan itu berjaya dengan gilang gemilang.

Modal insan yang sebegini memastikan setiap peringkat di dalam organisasi menyedari peranan dan tanggungjawap masing-masing tanpa ada rasa ketinggalan selain daripada mampu menghasilkan tugasan yang berkualiti, produktif, berteknologi dan diterima masyarakat.

Setiap pekerja yang menerima prinsip berjemaah ini akan berpegang pada kepentingan penyatuan fikiran, penyatuan matlamat, penyatuan amalan, penyatuan ilmu dan penyatuan tindakan. Pekerja akan lebih progresif di dalam menyumbangkan idea, bersikap toleransi, terancang, begitu juga bersedia menerima idea kumpulan, bekerjasama, bersatu dan lebih teliti melaksanakan atau menyelesaikan semua tugasan.

Wallahuwaqlam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan