Cari Blog Ini

Rabu, 3 Februari 2010

DYMM Almarhum Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah (Marhum Mangkat Skudai) Part 2.


SULTAN ISMAIL MU'ABIDIN RIAYAT SHAH (MARHUM MANGKAT DI SEKUDAI)
(1871 - 1874)

Raja Bendahara Raja Ismail dilantik menjadi pengganti Almarhum Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah yang telah mangkat lebih daripada sebulan belum disemadikan. Raja Ismail telah dilantik oleh orang besar-besar Perak memandangkan Raja Muda Raja Abdullah tidak berani berangkat menghadiri serta mengetuai istiadat permakaman Almarhum. Raja Ismail adalah putera Raja Nandak binti Almarhum Sultan Ahmaddin Shah dengan suaminya Saiyid Shaikh Al-Khairat, Raja dari Siak, dan telah diambil menjadi Raja Bendahara dalam pemerintahan Almarhum Sultan Jaafar Mua'azzam Shah (Sultan yang ke-23).

Setelah menjadi Sultan yang ke-25, Raja Ismail bergelar Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah, dan bersemayam di Belanja. Dari masa itu hingga beberapa tahun kemudian, kerabat-kerabat diraja sentiasa berseliseh antara sama sendiri, terutama di antara baginda dengan Raja Muda Raja Abdullah, Raja Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah dan Tengku Menteri Ngah Ibrahim. Adalah dipercayai baginda juga telah mengambil Raja Tepus dijadikan pemangku Raja Mudanya kerana baginda tidak dapat kerjasama daripada Raja Muda Raja Abdullah ibni Almarhum Sultan Jaafar Mua'azzam Shah bersemayam di Batak Rabit.

Disebabkan perselisehan sesama sendiri antara kerbat-kerabat diraja Perak itu, maka pemerintahan di Negeri Perak telah menjadi semakin kucar-kacir lagi. Tambahan pula, huru-hara yang dibangkitkan oleh kaum Cina di Larut sejak tahun 1872, yang disebutkan Perang Larut, tidak dapat diselesaikan oleh raja-raja dan Tengku Menteri Ngah Ibrahim itu. Dalam keadaan kekacauan itu, Raja MUda Raja Abdullah, Raja Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah, Raja Idris ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar (ibni Raja Kecil Tengah Raja Ahmad) dan Tengku Menteri Ngah Ibrahim masing-masing telah meminta bantuan daripada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Hary Ord, di Singapura untuk menegakkan kedudukan mereka masing-masing.

Pada bulan April 1872, Raja Muda Abdullah dengan sendirinya telah menyatakan bahawa beliau merupakan Sultan Perak yang sah serta mengambilnya Raja Yusuf sebagai Raja Mudanya. Pada bulan yang sama, Gabenor Ord telah menghantar wakilnya, C.J. Irving, yang sedang berkhidmat sebagai Juruodit Agung Negeri-Negeri Selat, datang ke Perak menyelidikkan keadaan kesultanan itu. Irving telah berjumpa dan bertemu-ramah dengan Raja Muda Raja Abdullah, Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan lain-lain orang besar-besar di atas kapalnya bernama Pluto di Sungai Larut. Maka pada 25 April 1872, Raja Muda Raja Abdullah telah mengemukakan tuntutannya kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat bahwa beliau adalah waris yang lebih berhak dilantik menjadi pengganti Almarhum Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah. Selepas sebulan daripada pertemuan dengan Irving, Gabenor Negeri-Negeri Selat telah memanggil semua orang besar-besar Perak datang berkumpul di Pulau Pinang menghadiri suatu persidangan mengenai siapa yang lebih layak menjadi Sultan Perak itu dengan Gabenor Ord. Tetapi orang besar-besar memaklumkan bahawa perkara berkenaan Sultan Perak telah pun diselesaikan dan mereka tidak hadir untuk bersidang dengan Gabenor.

Pada tahun 1872, berbangkit pula pergaduhan orang-orang Cina di Larut antara pihak Hai San dengan pihak Ghi Hin, (yang dirujuk sebagai Perang Larut yang ketiga). Pergaruhan tersebut berlarutan dan pada awal tahun 1874 barulah orang Inggeris menggunakan pengaruhnya untuk memberhentikan pengaduhan orang-orang Cina di Larut dan di Pulau Pinang. Dalam pergaduhan tersebut, Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan beberapa orang Raja pula menyertai bahagian dan memberi sokongan kepada kongsi-kongsi Cina yang mereka sukai.

Pada bulan Ogos 1873, Gabenor Ord telah datang ke Pulau Pinang dan berjumpa dengan Raja Muda Raja Abdullah. Pada 3 September 1873, setelah mendengar penerangan daripada Leftenan Gabenor A.E.H. Anson, Gabenor Ord telah mengiktirafkan Tengku Menteri Ngah Ibrahim sebagai pemerintah Larut yang sah.

Susulan daripada itu, Raja Muda Raja Abdullah pula berangkat ke Singapura berjumpa dengan Gabenor Negeri-Negeri Selat yang baru untuk berunding tentang tuntutannya menjadi Sultan Perak. Gabenor baru ialah Sir Andrew Clarke. Maka pada 30 Disember 1873, atas pujukan daripada sahabatnya bernama W.H. Read di Singapura, Raja Muda Raja Abdullah telah mengutus surat kepada Sir Clarke meminta Gabenor itu mencampur-tangan menyelesaikan huru-hara di Negeri Perak dan menerimanya sebagai Sultan Perak yang sah. Tidak beberapa lamanya, Sir Clarke pun datang ke Pulau Pangkor berjumpa dengan orang besar-besar Perak serta ketua-ketua Cina yang bergaduh di Larut. Akhirnya, pada 20 Januari 1874, suatu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Pangkor telah pun dimeteraikan oleh kerabat-kerabat diraja dan orang besar-besar Perak dengan pihak Gabenor Negeri-Negeri Selat. Antara syarat-syarat perjanjian tersebut ialah Raja Muda Raja Abdullah diangkat menjadi Sultan Perak, pewujudan jawatan Residen British di Perak untuk menasihatkan Sultan dalam segala perkara selain daripada yang tersentuh dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Dengan wujudnya perjanjian itu, Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah, yang tidak hadir dalam perjumpaan dengan Sir Clarke di Pulau Pangkor, telah diturunkan daripada takhta kerajaan Negeri Perak serta dibenarkan memakai gelaran 'Sultan Muda' dan diberikan gaji oleh Kerajaan Negeri Perak. Kuasa dan kedudukan Tengku Menteri sebagai pemerintah Larut juga disingkirkan, dan diserah-balik kepada Sultan Perak yang baru diiktirafkan.

Mengikutan daripada pewujudan Perjanjian Pangkor, pegawai Inggeris J.W.W. Birch telah dilantik menjadi Residen British yang pertama. Maka pula timbullah perselisehan antara Sultan baru dan Residen British yang kemudiannya menyebabkan pembunuhan Birch di Pasir Salak. Peristiwa gelap ini menyebabkan terbitnya Perang Perak. Pemerintahan British telah menangkap orang-orang yang terlibat dengan pembunuhan Birch, dan mereka dijatuhkan hukuman. Kepada bekas Sultan, Sultan Muda Ismail, baginda telah dibuang negeri ke Johor pada tahun 1877. Sultan Muda Ismail berhinggap di Sekudai sehingga baginda mangkat pada 4 September 1889 dengan bergelar 'Marhum mangkat di Sekudai'. Almarhum dipermakamkan di Bukit Mahmudiah di Johor Bahru.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan